Welcome!

Contoh Karangan UPSR: HARI KECEMERLANGAN, by SHOBHANAA
Contoh Karangan UPSR
Name:Johor SHOBHANAA
Title:HARI KECEMERLANGAN
2010-01-28 15:14
30 Julai 1999 merupakan tarikh yang tidak mudah dilupakan oleh semua warga SMSM. Ini kerana pada hari tersebut telah diadakan Hari Kecemerlangan Pelajar. Hari itu memang dinanti-nantikan oleh semua pelajar dan ibu bapa terutamanya yang terlibat dengan upacara penerimaan sijil penghargaan. Lagipun, para guru dan pelajar sudah menghabiskan kira-kira 2 minggu untuk persediaan dan latihan.

Pada pagi itu para pelajar berkumpul di tapak perhimpunan untuk mendengar pesanan dan arahan terakhir daipada pengetua dan guru-guru yang menjadi ketua dalam bahagian-bahagian tertentu seperti bahagian persembahan, penganugerahan hadiah    dan cendera hati, keselamatan, pameran, dan sebagainya. Sesuatu yang menarik pada hari itu ialah semua guru lelaki memakai baju Melayu yang lengkap dengan songkok dan sampin termasuk guru-guru bukan Melayu. Sementara itu guru-guru perempuan kelihatan segak dengan pakaian baju kurung dan ada juga yang berkebaya labuh

Kira-kira pada pukul 8.30    pagi, para tetamu kelihatan mula masuk ke kawasan sekolah dan mereka disambut dengan mesra oleh barisan pengawas yang sedia menunggu di pintu utama sekolah dan para pelawat diberikan sebuah buku program untuk acara pada hari itu. Terdapat juga para penyambut tetamu yang kelihatan mengiringi pelawat sehingga ke pintu masuk dewan tempat majlis gemilang itu diadakan. Pada tahun ini sambutan daripada ibu bapa sangat menggalakkan sehingga dewan yang seluas empat ukuran kelas itu kelihatan penuh. Antara tetamu yang diundang pada hari tersebut termasuklah Pengarah Pendidikan Negeri, Pengarah Pendidikan Daerah, Pengetua-Pengetua, dan beberapa orang wakil PIBG. Ketibaan Pengarah Pendidikan itu telah disambut oleh pasukan kompang sekolah dan beliau juga diberikan penghormatan untuk memeriksa barisan hormat oleh pasukan kadet tentera sekolah    yang kelihatan kemas dengan uniform mereka yang serba hijau dan memakai topi hitam berjambul merah. Upacara itu tamat dengan nyanyian lagu Negaraku dan selepas itu beliau diiringi oleh Pengetua masuk ke dalam dewan.

Pengetua telah menyampaikan ucapan dan memberikan laporan yang berupa kemajuan akademik dan kokurikulum di sekolah itu diikuti dengan ucapan daripada wakil PIBG dan akhir sekali ucapan daripada Pengarah Pendidikan Negeri Kedah. Seterusnya dewan menjadi lebih meriah dengan tepukan yang diberikan kepada para pelajar yang mendapat anugerah cemerlang pada hari itu. Tepukan yang kuat diberikan kepada pelajar yang diumumkan sebagai tokoh pelajar pada tahun ini kerana berjaya memperoleh keputusan akademik yang baik dan aktif pula dalam bidang sukan serta badan beruniform serta kelab.

Ketika pelawat serta tetamu berpindah ke dewan makan, pelajar-pelajar yang mengambil bahagian untuk acara persembahan sudahpun bersedia di atas pentas. Para tetamu kelihatan kagum dan terpukau oleh persembahan lagu-lagu yang disampaikan kumpulan koir sekolah dan diiringi pula dengan permainan muzik olehanggota-anggota band SMSM yang kelihatan segak bergaya dengan uniform mereka yang berwarna merah dan putih. Mereka telah mempersembahkan lagu-lagu yang segar dan telah berjaya menceriakan majlis makan tersebut. Para tetamu juga kelihatan tidak kering gusi apabila menonton sketsa komedi yang dipersembahkan oleh Pasukan Pengakap Sekolah. Kemuncak acara persembahan itu ialah nyanyian solo daripada pemenang Juara Bakat Seni Suara SMSM 1999 yang memiliki suara seakan-akan penyanyi terkenal Siti Nurhaliza. Para tetamu kelihatan tidak bergerak daripada tempat duduk masing-masing sehingga acara persembahan diumumkan tamat dan mereka dijemput untuk pergi ke ruangan pameran yang diadakan dimakmal sains.

Para tetamu kelihatan kagum dengan pameran sains yang diadakan pada hari itu. Kebanyakan pelawat ingin mencuba sendiri beberapa alat dan radas sains yang dipamerkan itu dan hampir semua tetamu tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan menggunakan kamera yang dibuat sendiri oleh beberapa orang pelajar daripada Persatuan Sains dan Matematik SMSM.

Apabila semua tetamu pulang, keadaan kembali tenang dan para guru mengadakan sesi bergambar untuk dimuatkan ke dalam majalah sekolah. Hari Anugerah Kecemerlangan pada tahun ini merupakan hari yang paling gemilang dalam sejarah SMSM.


 

Today's readers:
...
Total readers:
...
Today's XP:
...
Total XP:
...
Suhu :
...
Submit a comment:

Name