Welcome!

Contoh Karangan UPSR: AKU SEBUAH BURUNG HELANG , by NANDAKISHHORE
Contoh Karangan UPSR
Name:Johor NANDAKISHHORE
Title:AKU SEBUAH BURUNG HELANG
2018-10-02 05:05
Gunung Keriang – itulah nama tempat lahirku. Sejak aku mampu terbang sendiri di awan, aku gemar terbang tinggi di awan. Melihat pohonan kayu menjadi kecil dan terus sayup saujana mataku memandang adalah sesuatu yang menyeronokan.  
 
Meskipun terbang tinggi menjadi kebanggaanku, aku masih tidak mampu menewaskan seekor burung gergasi yang akan terbang jauh tinggi dariku dan lebih pantas meluncur di udara. Aku kehairanan hingga pada suatu hari aku nekad untuk mengenal siapakah jaguh yang sering menewaskan aku.  
 
Pagi yang indah itu bermula dengan langit yang cerah dan membiru. Ton merah matahari menghilang, perutku sudah ku padatkan dengan ikan haruan dari bendang berhampiran. Aku perlu tenaga untuk mengejar lawanku untuk aku berkenalan dengannya.  
 
Aku menunggu di hujung dahan tertinggi di puncak Gunung Keriang. Mata memerhati ke arah sinar matahari menyinar bumi kerana selalunya ia datang dari arah itu. Penantianku tidak lama, bunyi bising berderum itu amat aku kenali. ‘Dia datang!’  
 
Bingkas aku bangun dan menyebarkan sayapku. ‘Biar dia lihat kecantikan kepakku, Meskipun aku tahu, aku akan tewas tetapi aku punya sayap yang baik, lembut dan bertenaga.  
 
Ia terbang semakin rendah. Aku melompat ke ruang angkasa lalu mengibas sayapku sekuat termampu. Aku menghulurkan kakiku ke belakang agar aku dapat melawan arus rintangan udara.  
 
Aerodinamik badanku membantu aku terbang pantas. Tetapi aku merasa sakit dengan deruman lawanku – bising.  
 
Aku dapat melihat bentuk wajahnya. Panjang, bersayap seperti aku. Tetapi sayapnya tidak dikibaskan.  
 
Hampir berpuluh kampung aku meluncur di awan. Aku tewas dengan lawanku. Ia tidak lagi di pandangan mataku.  
 
Aku terus meluncur mencari ia di hadapan. Hinggalah aku hampir tiba di Bukit Pinang, desa para keluargaku juga, aku nampak kelibat lawanku itu di sebuah lapangan binaan manusia.  
 
Ia duduk diam di satu padang yang besar dan dihujungnya satu jalur kawasan yang panjang.  
 
Aku cuba menghampirinya. Sarafku merasa perit tetapi aku terus pertahankan nekadku.  
 
Aku hinggap di atasnya. Kerasnya badannya. Ia masih berderum. Aku mencari mana datangnya bunyi itu.  
 
Aku lihat bilah-bilah sayap berpusing dalam satu lohong. Di situlah keluarnya bunyi yang bising itu.  
 
Tiba-tiba aku nampak manusia keluar dari badannya. Barulah aku sedar, lawanku bukanlah makhluk seperti aku. Ia hanya ciptaan manusia.  
 
Ciri-cirinya sama seperti aku. Agaknya manusia meniru dari ciptaan pada diriku.  
 
Aku hinggap di sebuah cermin yang besar. Di situ, aku dapat lihat sepasang manusia yang seakan bekerja ditugaskan menggerakan lawanku ini.  
 
Keperitan saraf membuat aku tidak tahan lagi lalu aku terbang meninggalkan kenderaan manusia itu.  
 
Sejak hari itu, aku tidak lagi memanggilnya lawanku.  
 
Ia hanyalah impian manusia yang mahu terbang sepertiku, tetapi penciptaan aku lebih hebat kerana aku tidak perlu peralatan untuk aku terbang tinggi.  
 
Namun begitu, manusia punya akal yang juga diberikan Allah swt untuk berfikir dan mencapai impian mereka.  
 
Aku bersyukur kerana aku adalah ciptaan Allah dan bahagia hidup di pergunungan yang indah.  
 
Aku berharap, meskipun manusia telah menewaskan aku di angkasa dengan kapal terbang ciptaan mereka, aku berharap mereka juga bersyukur kerana dikurniakan akal fikiran yang menjadikan manusia itu ciptaan Allah yang sempurna sebagai khalifah di alam ini.  
 
Aku berharap mereka menjadi khalifah yang menjaga keharmonian makhluk seperti aku yang hidup di habitat indah seperti Gunung Keriang. Itulah amanah dari Illahi.
 

Nur Syazawanna Amila, (2018-10-02 05:53)
Karangan bagus tapi boleh ringkas sakit.  

 
Harish, (2018-10-02 05:08)
Best essay ever. Thanks for this essay.
 
Submit a comment:

Name