Welcome!

Contoh Karangan UPSR: Peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik, by Tharani Kaseenathan
Contoh Karangan UPSR
Name:Perak Tharani Kaseenathan
Title:Peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik
2017-07-02 23:16
        Isu semangat patriotik yang kian luntur terutamanya dalam kalangan remaja bukan lagi merupakan suatu isu yang hangat diperkatakan kerana sudah menjadi suatu kelaziman dalam era yang serba mencabar ini. Masalah ini pula semakin hari semakin parah ibarat retak menanti belah. Saban hari pula terpapar pada dada-dada akhbar tempatan tentang isu para remaja terlibat dengan aktiviti yang mencemarkan nama baik negara kita dengan melanggar undang-undang yang menjadi asas kepada pembentukan kerajaan kita. Situasi ini sekiranya tidak mengalami sebarang perubahan yang drastik pasti akan membawa kepada kerosakan yang berkekalan. Umumnya, tiada penyakit yang tiada penawarnya. Oleh itu, ibu bapa perlu mengingatkan diri mereka tentang tanggungjawab mereka untuk memastikan jiwa anak-anak mereka kekal membara dengan semangat patriotik yang kukuh.  
                                Sehubungan dengan itu, ibu bapa boleh menyediakan persekitaran yang mampu memupuk semangat patriotik dalam kehidupan anak-anak. Berbekalkan persekitaran yang kondusif, anak-anak tidak mempunyai alasan untuk mengetepikan semangat patriotik yang menjadi pelengkap kepada kehidupan mereka. Misalnya, ibu bapa boleh membelikan anak-anak buku bercorak sejarah sejak kecil lagi. Usaha ini boleh diperhebat jika ibu bapa mengambil inisiatif untuk membaca bersama-sama anak mereka buku-buku ini. Umumnya, anak-anak yang dilahirkan diibaratkan sebagai kain putih yang bersih, ibu bapa dan persekitaran mereka pula menjadi alat yang mewarnai dan mencorakkan kehidupan mereka. Pendedahan melalui persekitaran ini pasti akan membantu anak-anak membesar menjadi ahli masyarakat yang mencintai tanah air mereka sendiri.  
                                  
             Jika dikaji dari perspektif yang berlainan, ibu bapa memikul tanggungjawab untuk mendidik anak-anak tentang kepentingan semangat patriotik. Ibu bapa secara asasnya merupakan insan pertama yang memberikan pendidikan tidak formal kepada anak-anak. Didikan ibu bapa tentang semangat patriotik pula seharusnya bermula sejak kecil lagi. Hal ini sememangnya bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnnya. Antara usaha yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mendidik anak-anak ialah dengan membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat bersejarah. Misalnya, bandar bersejarah Melaka seharusnya menjadi destinasi pelancongan terpenting dalam kehidupan anak-anak muda. Berbekalkan pengetahuan yang diperoleh daripada tinggalan sejarah di bandar Melaka. Anak-anak muda pasti dapat menghayati sejarah dengan lebih mendalam.  
                                  
             Seterusnya, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menjadi wadah yang menyampaikan cerita tentang jerih payah pahlawan tempatan dalam mempertahankan negara kita daripada para penjajah. Ibu bapa harus memastikan bahawa anak-anak mereka mengingati tarikh-tarikh penting negara kita sejak kecil lagi. Antaranya, 31 Ogos 1957 dan juga 16 September 1963 yang merupakan tarikh penting yang mesti disuburkan dalam kehidupan anak-anak. Bagi memastikan anak mereka benar-benar memahami kepentingan tarikh ini, ibu bapa perlulah membuat persediaan yang mencukupi dan menjadi suri teladan kepada anak-anak, iaitu mereka perlu terlibih dahulu memahami dan menghayati kepentingan tarikh ini. Sekiranya berkesempatan pula, ibu bapa boleh membawa anak mereka berjumpa dengan tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan secara personal.  
                                  
                Jika skop perbincangan kita dicapahkan, ibu bapa juga memainkan peranan penting sebagai pemangkin dan penyuntik semangat yang mampu memastikan anak-anak mencintai tanah air mereka sendiri. Bagi merealisasikan aspirasi ini, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak untuk menyertai sebarang pertandingan yang berunsurkan patriotisme. Dalam konteks ini, ibu bapa berperanan untuk membantu anak-anak untuk mencari lebih banyak maklumat tentang pertandingan yang disertai anak-anak. Tindakan serampang dua mata ini bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara ibu bapa dan anak-anak malah juga dapat memastikan anak-anak mereka lebih mampu mencintai tanah air mereka sendiri selepas mengenalinya. Seperti kata peribahasa tak kenal maka tak cinta.  
                                  
             Kesimpulannya, peranan ibu bapa sangat besar dalam memastikan semangat patriotik terus hidup subur dalam kehidupan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa seharusnya mengorak langkah yang lebih proaktif seperti yang terkandung dalam peribahasa sediakan payung sebelum hujan bagi memastikan semangat patriotik tidak luntur dalam kehidupan anak-anak mereka.  

 

Nur afiesha , (2018-01-21 19:09)
Same same
 
Tharani kaseenatan, (2018-01-17 20:48)
Terima kasih nur afieha bagi semangat kat sayeಠ⌣ಠ
 
Nur afiesha, (2017-07-09 14:51)
Karangan yang bagus.Teruskan usaha ya...
 
Submit a comment:

Name