Welcome!

Contoh Karangan UPSR: Kebaikan menyertai aktiviti kokurikulum, by Tharani Kaseenathan
Contoh Karangan UPSR
Name:Perak Tharani Kaseenathan
Title:Kebaikan menyertai aktiviti kokurikulum
2017-07-02 23:14
        Aktiviti kokurikulum merupakan amalan yang berfaedah jika dilakukan secara berterusan. Kokurikulum bermaksud aktiviti yang dilakukan di luar bilik darjah dan pada lazimnya dilakukan selepas waktu bersekolah. Malangnya, dalam era globalisasi dan modenisasi ini yang serba mencabar amalan yang baik ini mula dientengkan. Hal ini berpunca daripada pemikiran radikal yang beranggapan bahawa hanya pencapaian akademik sahaja yang menjadi kayu ukur kejayaan dalam pendidikan. Masalah ini pula semakin hari semakin parah ibarat retak menanti belah. Umumnya, terdapat pelbagai kelebihan yang dapat kita peroleh jika kita bertindak untuk melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum seperti kegiatan kelab dan kegiatan berpersatuan.  
          
             Sehubungan dengan itu, salah satu kelebihan menyertai aktiviti ini ialah aktiviti akan menjadi wadah yang berguna bagi para pelajar untuk menimba pelbagai pengalaman baharu. Secara umumnya, setiap kegiatan kokurikulum pasti dapat memberi kesempatan kepada pelajar untuk menguruskan sesebuah organisasi. Sekiranya pelajar diberikan jawatan yang penting dalam sesuatu persatuan ataupun kelab, pengalaman ini pasti berguna apabila pelajar tersebut menjejakkan kaki ke alam pekerjaan kelak. Contohnya, sifat seperti kepimpinan, amanah dan tanggungjawab. Hakikatnya, pelajar yang banyak makan garam pasti lebih berdaya saing dengan pelajar yang bertindak tidak mengendahkan aktiviti kokurikulum kerana pengalaman itu adalah guru yang terbaik.  
                  
            Jika diteliti dari perspektif yang berlainan, seperti yang sudah kita ketahui, sekolah merupakan institusi pendidikan yang menyalurkan pendidikan formal kepada para pelajar. Namun, satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan ialah sekolah juga merupakan tempat pertama individu sejagat mengenali rakan-rakan yang membentuk kehidupan mereka. Dalam konteks ini, aktiviti kokurikulum seperti persatuan dan kelab juga menjadi tempat yang paling sesuai untuk membolehkan percambahan semangat persahabatan yang bermula di kelas mereka. Hal ini demikian kerana, peluang untuk bergaul dan mengenali rakan sebaya kita dengan lebih mendalam sering kali wujud dalam aktiviti kokurikulum apabila pelajar dikehendaki untuk melaksanakan dan memimpin sesuatu aktiviti bersama-sama.  
                  
         Jika isu ini diselidik dengan lebih mendalam, pergaulan yang bermula pada zaman remaja pasti amat berguna sebagai alat untuk memastikan perpaduan kekal lestari apabila remaja-remaja ini menjadi dewasa kelak. Pengalaman menyeronokkan bersama-sama rakan mereka pasti akan tersemat dalam ingatan mereka sambil bila-bila masa sahaja. Kejayaan dan kegagalan yang dihadapi bersama bagaikan yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul pasti akan menjadi hikmah yang dapat mengukuhkan semangat persahabatan dan persaudaraan yang terjalin. Pastinya, perpaduan yang utuh menjadi kekuatan kepada pembangunan negara kita.  
                              
        Sekiranya skop perbincangan kita dicapahkan, aktiviti kokurikulum juga dapat menguatkan ketahanan fizikal dan mental para pelajar. Kemahiran seperti berkawad, penyertaan dalam pertandingan dan aktiviti perkhemahan bukan sahaja dapat menjadikan para pelajar lebih kuat dari segi fizikal dan mental malah juga dapat mendisiplinkan para pelajar. Umumnya, pelajar yang berdisiplin adalah lebih mudah untuk diurus dan mampu menjadi aset yang penting kepada pembangunan negara kita. Tambahan pula kemahiran-kemahiran ini pasti dapat menjadi batu loncatan yang mampu menyinari kehidupan remaja-remaja yang telah kehilangan hala tuju kehidupan sebenar bagai layang-layang putus tali dengan sinar kebahagiaan.  
                              
             Di samping itu,aktiviti kokurikulum juga memberikan pendedahan awal kepada para pelajar untuk mendekati masyarakat di sekeliling mereka. Sepintas lalu, remaja era ini sering kali gagal untuk berinteraksi dengan ahli-ahli masyarakat yang wujud dalam kehidupan mereka kerana telahpun hilang dalam alam maya yang terlalu menarik. Aktiviti kokurikulum pula boleh membolehkan para pelajar berjalan keluar daripada perkarangan rumah dan sekolah mereka lalu melakukan aktiviti kebajikan yang bukan sahaja mampu membantu mereka yang memerlukannya malah amat berguna sebagai nutrisi kepada jiwa seseorang pelajar. Melalui aktiviti seperti rombongan ke rumah-rumah anak yatim dan rumah-rumah warga emas, remaja pasti dapat lebih menghargai kehidupan yang dimiliki dan seterusnya tidak membazirkan harga remaja mereka yang tidak ternilai.  
                          
            Kesimpulannya, kerajaan seharusnya mengadun satu kombinasi yang cukup padu untuk memperkasakan bidang kokurikulum di sekolah berbekalkan kerjasama dan bantuan daripada pihak guru. Persepsi ibu bapa bahawa kokurikulum adalah tidak penting harus diubah agar para pelajar dapat membesar menjadi remaja yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaaan.  

 

Submit a comment:

Name