Welcome!

Contoh Karangan UPSR: Kebaikan Menyertai Kegiatan Kokurikulum, by Tan Si Ning
Contoh Karangan UPSR
Name:Sarawak Tan Si Ning
Title:Kebaikan Menyertai Kegiatan Kokurikulum
2016-08-25 14:54
        Aktiviti kokurikulum merupakan pembelajaran yang dijalankan di luar bilik darjah. Terdapat banyak kebaikan menyertai kegiatan kokurikulum. Justeru, pihak sekolah telah menyediakan banyak kegiatan kokurikulum di sekolah seperti Kelab Muzik, Persatuan Bulan Sabit Merah, permainan bola jaring dan sebagainya.  
 
        Kebaikan menyertai kegiatan kokurikulum ialah dapat menyihatkan badan. Pada masa kini, ramai pelajar telah menghidap penyakit obesiti. Justeru, jika kita menyertai kegiatan kokurikulum, badan kita akan sentiasa cergas dan otak sentiasa cerdas. Hal ini demikian kerana, kita akan berpeluh dan toksin dalam badan kita akan dikeluarkan melalui proses perpeluhan. Selain itu, darah dalam badan kita juga dapat mengalir dengan lancar. Sebagai contoh, ketika kita bermain badminton, kita dapat membakar lemak dengan banyak. Dengan ini, kita dapat mengelakkan diri daripada penyakit-penyakit seperti darah tinggi dan sakit jantung.  
 
     Di samping itu, kita juga boleh mendapat ramai kenalan melalui kegiatan kokurikulum. Sebagai contoh, kita hanya dapat bergaul dengan rakan-rakan yang belajar di kelas yang sama atau bersebelahan sahaja di sekolah. Namun, kita dapat mengenali rakan yang berbilang bangsa dan umur yang berbeza jika kita giat menyertai kegiatan kokurikulum. Justeru, kita akan lebih mengenali budaya dan tradisi kaum lain serta dapat berkongsi pengalaman pembelajaran bersama-sama rakan-rakan yang berbeza umur. Apabila kenalan kita telah bertambah, kita juga dapat menyelesaikan masalah dengan cepat kerana rakan yang baik akan sentiasa bersedia untuk membantu kita dan menemani kita untuk menyelesaikan masalah. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.  
 
        Selain itu, kita dapat mengisi masa lapang dengan menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah. Hal ini demikian kerana menyertai kegiatan kokurikulum merupakan satu aktiviti yang berfaedah dan dapat memanfaatkan masa lapang kita. Dengan ini, kita dapat mengelakkan diri daripada terjebak dalam gejala negatif seperti merokok, menghisap dadah, melepak, mencuri dan berjudi. Jika kita terlibat dalam gejala negatif tersebut, maka masa depan kita akan musnah. Bak kata pepatah, masa itu emas. Justeru, kita patut menghargai masa yang tidak ternilai dengan mengisi masa lapang dengan menyertai kegiatan kokurikulum.  
 
            Seterusnya, kita dapat menambahkan pengetahuan dengan menyertai kegiatan kokurikulum dan untuk dielakkan daripada digelar sebagai katak di bawah tempurung. Melalui penyertaan kegiatan kokurikulum, kita dapat mempelajari banyak pengetahuan yang tidak dapat dipelajari di dalam bilik darjah. Sebagai contoh, kita boleh mempelajari cara membalut luka, pertolongan cemas dan cara membubuh ubat melalui Persatuan Bulan Sabit Merah manakala kemahiran bermain badminton dan cara memegang raket yang betul dapat kita pelajari melalui permainan badminton. Justeru, kita akan menjadi seorang pelajar yang berpengetahuan luas dan dalam.  
 
        Konklusinya, menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah mendatangkan banyak kebaikan kepada kita. Oleh sebab itu, pihak sekolah harus menyediakan kegiatan kokurikulum yang menarik untuk memupuk minat para pelajar menyertai kegiatan kokurikulum. Ibu bapa juga hendaklah menggalakkan anak-anak menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah. Justeru, semua pihak harus berganding bahu untuk memupuk minat para pelajar dalam menyertai kegiatan kokurikulum kerana tanpa kerjasama semua pihak segala matlamat tidak dapat dicapai.  
 
      
 
 

 

Submit a comment:

Name