Welcome!

Contoh Karangan UPSR: Bencana alam , by yamuna
Contoh Karangan UPSR
Name:Kuala Lumpur yamuna
Title:Bencana alam
2015-03-20 14:39
Rantau Asia Tenggara merupakan kawasan yang tidak sunyi daripada kejadian bencana alam yang besar. Bencana alam seperti gempa bumi, kebakaran hutan, tsunami dan ribut taufan serta letupan gunung berapi menjadi sesuatu yang biasa pula di rantau ini terutama di Indonesia, Filipina dan Vietnam. Kekerapan kejadian ini menyebabkan banyak nyawa melayang dan tidak kurang juga kemusnahan harga benda berlaku dengan tinggi. Oleh itu, sebagai sebuah negara jiran yang bertanggungjawab, Malaysia telah banyak menghulurkan pelbagai sumbangan bantuan yang mampu untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh negara jiran itu.  
 
Sumbangan yang paling mudah dan efektif ialah bantuan kewangan terutama dalam memenuhi keperluan asas seperti makanan dan minuman. Malaysia sudah beberapa kali menghulurkan bantuan kewangan baik dalam bentuk pinjaman mahupun wang tunai ke Indonesia dan Filipina ketika negara itu dilanda bencana alam. Bantuan ini berupaya memudahkan rakyat kedua-dua negara itu untuk meneruskan kehidupan setelah kehilangan rumah dan pekerjaan mereka akibat kejadian fenomena alam itu. Justeru, bantuan kewangan menjadi bantuan yang paling penting dihulurkan oleh Malaysia kepada negara jirannya yang mengalami bencana alam.  
 
Selain itu, negara kita juga ada menghantar pakar-pakar yang boleh membuat penilaian dan memberikan idea untuk membangunkan semula kawasan yang dilanda bencana alam itu. Kejadian gempa bumi dan tsunami mampu memusnahkan kawasan rumah dan bangunan yang memerlukan kemahiran pakar-pakar untuk membinanya semula dengan segera. Kehadiran pakar-pakar ini juga memberikan suntikan keyakinan kepada mangsa-mangsa bencana alam itu untuk membina semula rumah mereka yang sudah tiada tersebut. Lantaran itu, penghantaran pakar-pakar ke negara yang dilanda bencana berupaya memastikan proses pembangunan semula berjalan lancar.  
 
Pada masa yang sama bekalan perubatan juga menjadi sumbangan penting dari Malaysia ke negara jiran yang dilanda bencana alam itu. Banyak pertubuhan sukarela negara ini yang menghantar pasukan perubatan mereka dengan segera ke tempat bencana alam untuk memastikan tahap kesihatan di sana terjamin untuk memastikan penularan wabak penyakit seperti taun dan demam tidak berlaku pula. Mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan juga boleh dirawat oleh pasukan perubatan yang dihantar oleh pertubuhan bukan kerajaan itu. Jelaslah, sumbangan dalam bentuk perubatan memberikan satu harapan baru kepada negara-negara jiran kita yang dilanda musibah alam itu.  
 
Malah, Malaysia juga membuat kerjasama yang lebih luas dengan bersetuju untuk membuat pengawasan dan memperkenalkan dasar-dasar mencegah bencana alam. Kejadian tsunami beberapa tahun lalu telah menyebabkan Malaysia dan negara-negara jiran memasang sistem pengesan amaran awal tsunami di kawasan perairan masing-masing yang kemudiannya boleh dikongsi maklumat itu ke seluruh negara pula. Konsep kerjasama sebegini memastikan sebarang kejadian tsunami atau gempa bumi bawah laut boleh diketahui dengan lebih cepat dan teratur oleh negara-negara di rantau ini lalu mengurangkan risiko kematian pula. Maka, negara kita telah memberikan kerjasama yang jitu dan jujur dalam usaha untuk menangani kejadian bencana alam ini.  
 
Konklusinya, semua sumbangan yang diberikan oleh negara itu telah dilakukan, sedang dan akan terus dilaksanakan pada masa hadapan. Sikap sebeginilah yang telah menyebabkan imej negara terus dihormati oleh negara-negara jiran kerana sanggup berkorban demi kebajikan rakyat negara lain. Walaupun Malaysia jarang dilanda bencana alam yang mengorbankan ribuan rakyatnya tetapi kita menyedari kesengsaraan yang dialami itu. Semoga sikap positif sebegini akan berterusan selama-lamanya.
 

Submit a comment:

Name