Welcome!

Contoh Karangan UPSR: LANGKAH-LANGKAH MENGATASI KEMALANGAN JALAN RAYA, by yamuna
Contoh Karangan UPSR
Name:Kuala Lumpur yamuna
Title:LANGKAH-LANGKAH MENGATASI KEMALANGAN JALAN RAYA
2014-09-02 02:01
Pada 22 Ogos yang lalu negara kita dikejutkan dengan berita kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah bas awam dalam perjalanan dari Genting Hinglands menuju ke pusat bandar raya. Dalam kemalangan maut berkenaan, 37 orang penumpang maut, manakala 16 orang yang lain cedera parah apabila bas berkenaan jatuh ke dalam gaung sedalam 60 meter. Antara punca yang menjadi polemik perbualan sosial termasuklah kecuaian pemandu, keadaan permukaan jalan dan sifat fizikal bas berkenaan yang dikatakan uzur. Walaupun dikatakan malang tidak berbau, kita masih boleh mengambil beberapa langkah yang proaktif dalam memastikan angka kemalangan maut tidak terus meningkat.  
 
Langkah utama dalam mengurangkan angka kemalangan jalan raya sudah pastilah dengan mendidik para pemandu khususnya pemandu pengangkutan awam supaya lebih berdisiplin ketika memandu. Peratusan tinggi kemalangan dikatakan berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri yang dikatakan cuai ketika berada di atas jalan raya. Sebagai contohnya, banyak pemandu yang masih menggunakan telefon bimbit ketika memandu yang secara tidak langsung menyebabkan mereka kehilangan fokus. Oleh itu, kesedaran tentang kepentingan mengikut peraturan jalan raya perlu hadir dari dalam diri kerana tanpa kesedaran dalam diri, peraturan yang digubal umpama tidak bermakna.  
 
Kemalangan jalan raya juga dapat dielakkan melalui pendidikan di sekolah. Sejajar dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya, begitulah juga halnya dalam usaha untuk mendidik pemandu agar lebih berdisiplin ketika berada di atas jalan raya. Pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia sememangnya maklum akan hal ini dan telahpun memasukkan silibus keselamatan jalan raya dalam pendidikan di sekolah. Secara tidak langsung, anak-anak yang belajar di sekolah boleh mendapat pendidikan secara langsung tentang peraturan dan isu-isu keselamatan ketika berada di jalan raya.  
 
Langkah lain yang boleh diambil pula ialah dengan membaiki keadaan jalan raya di negara kita. Jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik sudah pasti mendatangkan bahaya kepada para pemandu dan juga penunggang motosikal. Bukan itu sahaja, keadaan jalan raya yang gelap tanpa sinaran cahaya lampu juga boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya terutamanya pada waktu malam. Sebagai misalannya, kereta yang dipandu laju di lebuh raya akan serta merta mengelak jalan yang berlubang tanpa melihat cermin pandang sisi. Keadaan ini memungkinkan kemalangan berlaku jika kenderaan di belakang mengikut terlalu dekat. Perkara sebeginilah yang perlu dielakkan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.  
 
Pihak-pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita.    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat Malaysia (SPAD) mahupun organisasi berkaitan yang lain perlu berganding bahu dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya ini. Sekatan-sekatan jalan raya serta rondaan secara berkala mampu mengurangkan risiko kemalangan atau paling tidak mendisiplinkan pemandu ketika berada di jalan raya. Namun demikian, pemantauan yang dibuat perlulah secara berterusan dan bukannya mengikut musim kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.  
 
Langkah terakhir dalam menangani isu yang kian membarah ini sudah tentulah melalui penganjuran kempen-kempen kesedaran dalam hal yang berkaitan keselamatan jalan raya. Pihak swasta dalam hal ini juga boleh menjalankan tanggungjawab sosial mereka dalam menyampaikan kempen-kempen tersebut melalui media massa seperti televisyen, radio, akhbar mahupun Internet. Kempen-kempen yang dijalankan ini perlulah dibuat secara berterusan dan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam ataupun melepaskan batok di tangga. Secara tidak langsung masyarakat akan tahu pihak kerajaan mahupun penganjur kempen ini bersungguh-sungguh dalam usaha mengurangkan kecelakaan jalan raya.  
 
Sebagai penutup bicara, banyak langkah yang boleh diambil oleh individu, masyarakat mahupun negara dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Semua pihak ini perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing supaya setiap langkah yang diambil mendatangkan kesan yang positif. Jika segala langkah telah diambil dan dijalankan dengan sewajarnya, tidak mustahil kita dapat melihat negara yang dicintai ini berkembang menuju ke arah status negara maju setanding dengan negara-negara maju yang lain. Kadar kemalangan jalan raya yang berkurang juga boleh menggalakkan pelaburan asing ke negara kita yang secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi negara.
 

, (2015-06-22 21:39)
mesti karangan dapat 100  

 
Submit a comment:

Name