Welcome!

Contoh Karangan UPSR: Berjimat-cermat Amalan Mulia , by yamuna
Contoh Karangan UPSR
Name:Kuala Lumpur yamuna
Title:Berjimat-cermat Amalan Mulia
2014-09-02 01:53
Amalan berjimat-cermat harus dipupuk sejak dari kecil lagi. Berjimat-cermat bermaksud menggunakan apa yang kita miliki untuk perkara-perkara yang perlu sahaja tanpa pembaziran.  
 
Banyak faedahnya apabila kita berjimat-cermat. Antara faedahnya ialah kita boleh menyimpan atau menabung wang untuk tujuan yang lebih penting. Wang itu nanti boleh digunakan untuk perkara yang lebih berfaedah seperti membeli buku-buku latihan dan sebagainya lagi.  
 
Selain itu, sikap berjimat-cermat akan menyebabkan seseorang sentiasa berfikir panjang sebelum membeli sesuatu barangan. Sikap seperti ini boleh mengurangkan kesilapan membeli sesuatu barangan yang kurang perlu sehingga akhirnya barangan tersebut terbuang begitu sahaja. Ini tentu merugikan kita.  
 
Berjimat-cermat juga mengelakkan seseorang daripada terjebak dengan masalah hutang. Orang yang berbelanja dengan boros biasanya tidak berfikir panjang untuk berbelanja sehingga mereka sanggup berhutang. Ini menyebabkan mereka terjerat dengan masalah hutang hingga menyusahkan diri mereka sendiri.  
 
Berjimat-cermat juga bermakna kita dapat memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin. Sebagai contoh, mengisi masa lapang dengan bersukan akan menjadikan tubuh kita sihat dan cergas. Ini dapat mengelakkan kita daripada selalu berulang-alik ke klinik atau hospital akibat daripada masalah kesihatan. Hal yang demikian tentu akan membazirkan masa dan wang untuk mendapatkan rawatan.  
 
Di samping itu, amalan berjimat-cermat juga menjadikan seseorang itu berdisplin tinggi. Mereka sentiasa mengambil berat tentang penjimatan dan kecermatan. Misalnya, mereka akan sentiasa menutup kembali barangan elektrik seperti kipas, pendingin hawa dan sebagainya selepas digunakan. Ini akan mengelakkan mereka daripada membayar bil elektrik yang tinggi.  
 
Kesimpulannya, kita perlu sentiasa berusaha bagi memastikan amalan berjimat-cermat menjadi budaya hidup kita. Amalan ini pasti akan menguntungkan kita serta mengelakkan kita ditimpa pelbagai masalah.
 

Submit a comment:

Name