Welcome!

Contoh Karangan UPSR: Para remaja sering menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan mereka. Sebagai remaja cadangkan strategi untuk menangani masalah remaja., by yamuna
Contoh Karangan UPSR
Name:Kuala Lumpur yamuna
Title:Para remaja sering menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan mereka. Sebagai remaja cadangkan strategi untuk menangani masalah remaja.
2014-09-02 01:44
Kehidupan zaman remaja merupakan suatu zaman yang penuh dugaan hidup yang mencabar. Kewujudan cabaran ini menyebabkan banyak remaja menganggap kehidupan mereka tidak begitu penting lalu memudahkan mereka terjebak dalam pelbagai kancah gejala sosial yang mampu menjejaskan imej dan maruah diri remaja itu sendiri. Situasi ini seolah-olah memberi satu persepsi umum bahawa kemelut yang melanda remaja itu tidak boleh diselesaikan dengan begitu mudah. Namun, ada pelbagai strategi yang mampu dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk menangani pelbagai cabaran yang melanda kehidupan harian remaja itu.  
 
Antara strategi awal ialah remaja harus disedarkan bahawa kehidupan mereka itu mempunyai matlamat atau tujuan yang tertentu. Kesedaran ini boleh ditimbulkan melalui pelbagai kempen kesedaran yang boleh dilakukan oleh pihak media massa menerusi filem atau iklan yang pasti ditonton oleh jutaan remaja kita. Setiap remaja yang menyedari bahawa kehidupan mereka mempunyai matlamat yang lebih besar selain daripada diri sendiri pasti akan mampu untuk menangani sebarang cabaran yang timbul dalam hidup mereka kerana sedar diri mereka mampu melakukan perubahan dalam kehidupan orang lain dan negara ini. Maka, remaja harus terlebih dahulu disedarkan tentang kepentingan memiliki matlamat hidup yang lebih jelas dan nyata.  
 
Manakala strategi kedua ialah pihak sekolah harus mampu memberikan perkhidmatan kaunseling kepada mana-mana remaja yang bermasalah dengan efektif. Perkhidmatan kaunseling ini hendaklah dilakukan dengan sistematik dan diseliakan oleh guru-guru yang berpengalaman serta memiliki kemahiran yang cukup dalam aspek memberi nasihat yang positif kepada remaja kelak. Guru kaunseling bakal menjadi barisan awal untuk mengesan remaja yang bermasalah lalu segera membuat perubahan yang mampu membawa remaja terbabit ke pangkal jalan dengan segera. Sesungguhnya, khidmat kaunseling oleh pihak sekolah menjadi satu senjata pelindung yang paling praktikal dalam menangani cabaran hidup remaja kerana mereka menghabiskan masa yang lama di sekolah.  
 
Selain itu, remaja yang sedang menghadapi cabaran hidup mampu menanganinya dengan kembali kepada ajaran keagamaan mereka. Semua ajaran agama di dunia ini cuba membawa penganutnya supaya menggunakan kaedah keagamaan untuk menjalani kehidupan di dunia dengan lebih baik selain mampu menyelesaikan masalah kehidupan mereka dengan lebih positif dan rasional. Benteng agama menjadi kriteria penting yang harus dimiliki dalam jiwa remaja terutama yang bermasalah kerana agama memberikan seseorang itu satu pegangan atau kepercayaan bahawa diri mereka mampu mengharungi badai kehidupan yang sedang melanda mereka itu. Jelaslah, semakin tebal kefahaman agama dalam diri remaja semakin besarlah peluang remaja itu untuk mampu menangkis sebarang cabaran kehidupan yang timbul dalam hidup mereka.  
 
Pada masa yang sama ahli masyarakat umum turut berperanan untuk menegur atau membantu remaja yang sedang menghadapi cabaran dalam kehidupan mereka. Kalau kita lihat kini masyarakat tidak lagi mahu atau berani untuk menegur kelakuan sumbang remaja kerana tidak mahu dianggap menjaga tepi kain orang pula terutama dalam kehidupan masyarakat moden kini. Kegagalan setiap ahli masyarakat untuk menjalankan tanggung jawab mereka untuk memberikan nasihat kepada remaja kita telah menyebabkan banyak remaja tersesat jalan lalu terbabit dalam pelbagai fenomena sosial yang menjejaskan imej rakyat negara ini juga. Jadi, masyarakat harus disedarkan tentang peranan mereka untuk sama-sama membantu remaja dengan memberi teguran dan sokongan kepada remaja dalam menyelesaikan pelbagai cabaran kehidupan yang melanda jiwa muda mereka itu.
 

Submit a comment:

Name