Welcome!

Contoh Karangan UPSR: Usaha-usaha Pelbagai Pihak untuk Menggalakkan Amalan Membaca Dalam Kalangan Remaja. , by yamuna
Contoh Karangan UPSR
Name:Kuala Lumpur yamuna
Title:Usaha-usaha Pelbagai Pihak untuk Menggalakkan Amalan Membaca Dalam Kalangan Remaja.
2014-09-01 23:58
 
            Memang tidak dapat dinafikan dalam meneroka zaman kepesatan kemajuan teknologi maklumat kini, manusia cenderung kepada kebendaan. Justeru, amalan membaca telah diabaikan dalam kalangan masyarakat terutama golongan remaja kerana mereka leka dengan ciptaan-ciptaan gajet teknologi maklumat seperti telefon bimbit dan internet. Sebenarnya, kepentingan membaca sebagai wahana untuk menimba ilmu pengetahuan terpancar melalui cogan kata yang sering diwar-warkan iaitu 'Membaca Jambatan Ilmu'. Malahan, amalan membaca sangat penting    bagi mempercepat usaha kerajaan untuk merealisasikan Wawasan 2020 melalui pembentukan rakyat yang berilmu pegetahuan. Justeru, fenomena kurang membaca dalam kalangan remaja perlu dibenteras daripada berterusan.    Persoalannya, apakah langkah-langkah berkesan yang perlu diambil untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan remaja.  
 
             Sebenarnya, usaha untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan remaja mesti bermula daripada diri remaja sendiri.    Hal ini demikian kerana, walaupun banyak usaha yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak, untuk menggalakkan amalan membaca ini, namun tidak akan mendatangkan impak yang diharap-harapkan jika remaja sendiri tidak mempunyai kesedaran tentang hal tersebut.    Perumpamaannya 'kita boleh memaksa seekor kuda untuk masuk ke dalam air sungai, tetapi kita tidak akan dapat memaksa kuda tersebut minum air sungai tersebut'    Dalam hal ini, setiap remaja perlu menyedari akan betapa pentingnya amalan membaca dalam mengubah diri mereka menjadi insan yang berilmu pengetahuan dan berkualiti.    Sehubungan dengan itu, remaja perlu memiliki jati diri dan berpendirian teguh dalam mengurus kehidupan mereka dan tidak hanya hanyut dan tenggelam dalam arus kemajuan teknologi maklumat semata-mata.    Remaja juga mesti memiliki disiplin diri untuk memastikan amalan membaca dipraktikkan setiap hari.    Contohnya, remaja boleh meluangkan sedikit masa untuk membaca surat khabar, majalah, novel, buku-buku teks mata pelajaran, dan sebagainya sebagai rutin harian. Hal ini boleh dilaksanakan dengan membuat jadual harian dan memasukkan aktiviti membaca sebagai aktiviti yang utama. Justeru, jika remaja sendiri dapat mendisiplinkan diri sendiri untuk mengamalkan aktiviti membaca ini, sudah pasti membaca akan menjadi amalan dalam kehidupan mereka.    Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.  
 
 
         Selain itu, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak sejak kecil lagi. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.    Justeru , amalan membaca perlu dipupuk oleh ibu bapa sejak kecil kerana jiwa anak-anak kecil umpama sehelai kain putih, terpulang kepada ibu bapa untuk mencorakkannya.    Jiwa kanak-kanak juga masih lembut umpama rebung dan mudah dilentur dan dididik menjadi insan yang suka akan buku dan seterusnya suka membaca. Contohnya, sejak kecil lagi ketika anak-anak belum boleh membaca, ibu bapa sendiri boleh membacakan untuk mereka buku-buku cerita yang bersesuaian.    Ibu bapa juga boleh menghadiahi anak-anak mereka buku-buku pada hari ulang tahun kelahiran ataupun sebagai penghargaan atas pencapaian anak-anak dalam pelbagai bidang.    Jelaslah, jika ibu bapa dapat menyemai amalan membaca ini sejak anak-anak masih kecil, usaha untuk melahirkan remaja yang suka membaca akan tercapai.  
 
 
            Tambahan pula, pepatah Melayu juga menyebut    "Bagaimana acuan, begitulah kuihnya" yang menjelaskan bahawa ibu bapa sendiri mesti mengamalkan budaya membaca di rumah sekiranya ingin membentuk anak-anak yang juga gemar membaca.    Hal ini demikian kerana,     ibu bapa berperanan menjadi suri teladan atau 'role model' kepada anak-anak terutama yang masih di bangku sekolah.    Ibu bapa    perlu menjadikan    amalan membaca sebagai hobi yang menyeronokkan dan boleh dilakukan bersama-sama anak-anak. Contohnya, ibu bapa boleh menyediakan satu ruang atau bilik di rumah sebagai perpustakaan mini yang menempatkan pelbagai buku dan bahan bacaan untuk keluarga. Di ruang inilah ibu bapa boleh membaca bersama-sama anak-anak pada waktu lapang atau cuti hujung minggu.    Oleh itu, jelaslah sekiranya ibu bapa sendiri berjaya menjadikan amalan membaca sebagai rutin kehidupan, pastilah amalan    ini    akan dicontohi oleh anak-anak dan amalan mulia ini akan berkembang mekar dalam sanubari mereka sehingga mereka melangkah ke alam remaja seterusnya menjadi dewasa kelak.      
 
 
 

 

Submit a comment:

Name