Welcome!

Contoh Karangan UPSR: Penulisan blog sudah menjadi satu gaya hidup masyarakat kita. Kadangkala penulisan mereka itu menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat pula terutama apabila bahan penulisan mereka itu berunsur fitnah., by yamuna
Contoh Karangan UPSR
Name:Kuala Lumpur yamuna
Title:Penulisan blog sudah menjadi satu gaya hidup masyarakat kita. Kadangkala penulisan mereka itu menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat pula terutama apabila bahan penulisan mereka itu berunsur fitnah.
2014-08-30 02:20
Penulis blog dikatakan sebagai individu yang menulis dalam halaman blog yang tersiar melalui internet. Antara penulisan ini menyentuh aspek hobi, peribadi dan tidak kurang juga berunsurkan isu semasa yang dihasilkan oleh masyarakat biasa. Akhbar ada membuat komentar mengenai penulisan blog ini terutama apabila ada penulis blog yang menulis bahan yang tidak benar. Jadi, pelbagai idea telah diketengahkan untuk mengatasi masalah penulisan blog yang dilihat sebagai tidak bertanggungjawab ini.  
 
Salah satu langkah awal menangkis masalah penulisan blog ini ialah pihak berkuasa boleh membuat pendaftaran rasmi untuk sesiapa sahaja yang mempunyai blog. Pendaftaran ini melibatkan nama dan alamat sebenar penulis serta maklumat tambahan yang pihak berkuasa beranggapan penting. Kewujudan informasi penulis blog ini memudahkan pihak berkuasa untuk memantau setiap bahan penulisan itu lalu mengambil tindakan segera dengan menahan penulis yang tidak bertanggungjawab. Maka, masalah penulisan blog yang tidak beretika dapat diatasi jika pihak berkuasa membuat proses pendaftaran penulis dengan segera.  
 
Selain itu, satu seminar khas mengenai penulisan blog boleh dijalankan oleh pihak berkuasa terutama di bawah kendalian Kementerian Penerangan. Dalam seminar ini, pihak berkuasa boleh menerangkan proses perundangan yang meliputi internet dan juga hak penulisa serta penulisan yang beretika kepada peseta yang menghadirinya. Penyertaan penulis blog dalam seminar sebegini memberikan mereka maklumat yang tepat mengenai blog dan impak yang boleh dihasilkan oleh bahan penulisan mereka terhadap kehidupan masyarakat kita. Sesungguhnya, aktiviti seminar ini mudah tetapi efektif kerana mampu memberi kesedaran tentang erti penulisan blog yang sebenarnya.  
 
Malah, masalah penulisan blog yang tidak beretika ini juga boleh diatasi melalui pengenalan akta penulisan blog yang relevan. Maknanya kerajaan mewartakan satu akta yang khas untuk mengawal penulisan blog yang bertujuan jahat atau tidak berdasarkan bukti yang sahih. Pengenalan akta sebegini menjadikan penulis-penulis blog lebih berhati-hati dengan setiap bahan yang hendak mereka tulis untuk bacaan umum itu. Jelaslah, penulis blog akan lebih berhati-hati apabila mereka menyedari bahawa penulisan mereka boleh dihukum dengan hukuman yang lebih berat jika mereka tidak berhati-hati.  
 
Pada masa yang sama, pihak berkuasa hendaklah mengawal kemunculan pusat-pusat internet yang tumbuh bak cendawan selepas hujan itu. Banyak pusat internet ini telah digunakan sebagai tempat penulis yang tidak beretika ini untuk menghantar bahan penulisan mereka itu kerana menyedari mereka boleh membuka pelbagai akaun blog yang sukar untuk dikesan di pusat ini. Tindakan proaktif kerajaan mengawasi pusat internet akan menjadikan penulis blog tidak berani lagi untuk menyiarkan bahan mereka menerusi pusat sebegini. Sesungguhnya, pusat internet yang dipantau dengan rapi akan mengekang sebarang penyebaran bahan penulisan blog yang tidak bermoral ini.  
 
 
Kesimpulannya, masalah penulisan blog yang tidak bertanggungjawab ini boleh diatasi melalui semua langkah yang diutarakan tadi. Semua pihak hendaklah memberikan kerjasama yang sewajarnya agar blog tidak menjadi bahan untuk menjatuhkan imej orang lain dengan begitu mudah pula.    Kegagalan untuk bekerjasama boleh menyebabkan lebih banyak impak buruk akibat penulisan blog ini akan memusnahkan komuniti di negara ini yang berbilang kaum. Bak kata orang tua-tua, "kerana mullet badan binasa" mengingatkan kita bahawa dalam era moden ini bukan kata-kata sahaja yang harus dijaga tetapi hasil penulisan seseorang turut memberikan impak yang serupa.
 

Submit a comment:

Name