Aku sepasang kasut. Aku dinamakan Besta. Aku dilahirkan di sebuah kilang di Shah Alam. Aku merupakan sepasang kasut sekolah yang berjenama. Aku paling digemari oleh murid-murid pada masa ini. Setelah siap dibungkus, aku dan kawan-kawan aku dihantar ke beberapa buah pasar raya dengan sebuah van.
Apabila sampai di Perak, aku dan kawan-kawan dihantar pula ke sebuah kedai menjual kasut yang terkenal di Ipoh. Di sini aku berkenalan dengan kawan-kawan baharu seperti Bata, Pallas dan lain-lain. Aku dijual dengan harga RM39.90.
Pada suatu hari, ada seorang budak lelaki mendekati aku. Selepas dia tawar- menawar dengan tuan punya kedai itu, akhirnya aku berasa gembira kerana mendapat seorang tuan yang baharu. Nampaknya tuan baharuku ini seorang budak yang agak lasak. Pada sebelah pagi, aku dipakai untuk pergi ke sekolah. Aku berasa gembira sekali kerana dapat berjumpa dengan kawan-kawan yang lain.
Pada suatu hari, beberapa orang rakan mengajak tuan aku pergi bermain di padang yang berhampiran dengan rumah. Tuan aku memakai aku untuk bermain bola sepak, tiba-tiba badanku koyak. Tuan aku terpaksa pulang dengan berkaki ayam. Aku dibiar berpanas dan berhujan sehingga tubuhku rosak dan lama-lama menjadi hancur. Tuan aku tidak ingat kepada diriku lagi. Lebih malang lagi, aku digonggong oleh anjing liar ke dalam semak. Begitulah riwayat hidupku sebagai kasut. Ketika aku masih baharu, aku disayangi. Sesudah rosak, aku dibiarkan begitu sahaja. |