Welcome!

*|**|*Contoh Karangan UPSR: Cara-cara menghargai jasa ibu, by Marsha
Contoh Karangan UPSR
Name:Johor Marsha
Title:Cara-cara menghargai jasa ibu
2012-05-12 11:41
         Setiap insan pasti mempunyai seorang ibu. Tanpa seorang ibu, tiadalah kita. Ibu merupakan orang yang bertanggungjawab melahirkan kita ke dunia ini. Ibu menjaga dan mendidik anak-anak mereka dari kecil hingga dewasa agar menjadi orang yang berguna pada masa yang akan datang.  
 
         Ibu kita telah banyak berkorban untuk kita. Jasa-jasa mereka perlu dibalas. Sebenarnya, ada pelbagai cara yang dapat kita laksanakan demi menghargai dan membalas jasa seorang ibu. Antaranya ialah menjadi seorang anak yang baik dan soleh atau solehah. Kita perlu mematuhi segala arahan dan menjauhi larangan mereka. Setiap ibu pasti gembira apabila anak-anak menghormati dan mendengar nasihat mereka.  
 
         Seterusnya, kita juga haruslah menanam keazaman untuk berjaya dalam kehidupan seperti menjawat jawatan yang tinggi dan berpendapatan lumayan. Mereka pasti akan merasa bangga dengan kejayaan kita. Mereka akan berasa bahawa pengorbanan mereka selama ini tidak sia-sia. Mereka akan berasa sangat gembira melihat kejayaan si anak lebih-lebih lagi bagi anak yang menyumbang jasa kepada agama, bangsa dan negara.  
 
         Seorang anak yang mengenang jasa ibu mereka pasti tidak akan terlibat dengan gejala yang tidak sihat. Contohnya seperti terlibat dalam gejala penyalahgunaan dadah. Dadah merupakan musuh bangsa dan negara. Kita juga tidak boleh terlibat dengan aktiviti meragut, menyamun, salah laku sosial dan pelbagai masalah lagi yang banyak berlaku di sekeliling kita dewasa ini. Perkara-perkara tersebut akan menimbulkan perasaan sedih pada ibu kita. Sesungguhnya dunia ini bulat dan amat ditakuti jika kita mendatangkan masalah kepada ibu kita maka anak kita pula nanti akan melakukan perkara yang sama kepada kita pada masa akan datang.  
 
         Kita juga perlu menjaga kebajikan ibu kita seperti mengambil berat tentang kesihatan ibu kita. Bagi anak yang sudah bekerja dan berpendapatan lumayan, mereka haruslah mengirimkan wang kepada ibu mereka untuk perbelanjaan harian dan sebagai tanda ingatan kepada mereka. Bagi anak yang berjauhan dengan ibu pula haruslah selalu menghubungi ibu mereka dengan bertanya khabar dan mendengar segala masalah dan luahan hati ibu. Luangkan masa untuk bersama ibu walau sesibuk manapun kita nanti apabila sudah mempunyai kerjaya sendiri. Dengan cara ini, ibu kita akan beras sangat dihargai.  
 
         Selain itu, kita perlu mendengar nasihat ibu kita. Kita tidak boleh menderhakai mereka kerana niat mereka baik. Janganlah sesekali kita menderhaka kepada ibu kita kerana anak yang derhaka tidak akan mencium bau syurga. Kita haruslah mendengar arahan ibu kita kerana mereka lebih dulu makan garam dalam kehidupan ini. Kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dan menerima segala nasihat dan tunjuk ajar mereka kerana tiada ibu yang mempunyai niat buruk terhadap anak-anaknya. Apa yang selalu didoakan hanyalah perkara-perkara yang baik untuk kesejahteraan anak. Kita perlu ingat bahawa sesungguhnya kasih ibu membawa ke syurga.  
 
         Seorang anak sewajarnya membalas dan menghargai seorang ibu. Kita hanya ada satu ibu dan ibu kita tidak boleh ditukar ganti dengan yang lain. Kita mestilah menghargai mereka dengan ikhlas agar mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat. Kepada mereka yang masih mempunyai ibu, ambillah peluang ini untuk kita membuktikan kepada mereka yang kita sememangnya menghargai ibu kita. Fikirlah betapa bertuahnya kita kerana kita masih ada ibu yang menyayangi kita berbanding dengan mereka yang sudah tiada ibu.  
 
Sesungguhnya syurga itu di bawah tapak kaki ibu !
 

Today's readers:
...
Total readers:
...
Today's XP:
...
Total XP:
...
Suhu :
...
Submit a comment:

Name